Perubahan positif yang berlaku kepada penyanyi Aliff Aziz sejak beberapa bulan lalu sebenarnya dipengaruhi oleh perkongsian dakwah dalam Instagram.
Kata Aliff, dia bersyukur kerana ditunjukkan jalan untuk mendekatkan diri dengan Allah dan mendalami ilmu agama menerusi jemaah tabligh selepas hatinya tergerak melihat satu hantaran Instagram yang dikongsi bekas penyampai radio, Faizal Ismail (FBI).
“Tak tahu apa yang gerakkan hati saya. Saya sendiri yang menghantar mesej kepada Dakwah Tabligh Malaysia. Waktu itu saya tak tahu apa-apa kerana tiada kawan dalam usaha ini,” kata penyanyi dan pelakon kontroversi, Aliff Aziz, 30, yang menyertai jemaah tabligh, baru-baru ini.
Aliff berkata, semuanya bermula selepas dia melihat Instagram TV pengacara dan penyampai radio popular, Faizal Ismail atau FBI yang turut melakukan perkara sama sebelum itu.
“Saya bagi salam, kenalkan diri dan tanya boleh tak saya nak kenal jemaah tabligh? Mereka balas minta tinggalkan nombor dan mereka akan hubungi.
“Dua tiga hari mereka tak hubungi dan saya buat andaian sendiri mungkin mereka tak balas. Lagipun siapalah saya,” katanya.
Dia kemudian dihubungi Ustaz Amar Sufi Ali yang kemudiannya menerangkan segala aktiviti mereka.
“Dia hantar gambar usaha-usaha jemaah dan ia buat saya kagum. Saya tiada orang nasihat, tapi saya tergerak hati.
“Selepas itu dia hubungi saya dan beritahu akan keluar berdakwah selama tiga hari bersama ustaz-ustaz lain. Ketika itu saya amat bersemangat. Ustaz Amar beri secara terperinci apa yang perlu dibuat dan dibawa,” katanya.
Pelakon dan penyanyi dari Singapura itu berkongsi pengalamannya itu menerusi Facebook pelakon Saharul Ridzwan, baru-baru ini.
Saharul turut menyertai aktiviti itu bersama Ustaz Amar dan Ustaz Khann Daie.
Alif berkata, sehari sebelum menyertai aktiviti jemaah tabligh itu, dia hampir membatalkannya.
“Malam sebelum itu, saya tak boleh tidur dan berdebar lain macam. Saya beritahu Ustaz Amar tak boleh pergi kerana kebetulan ada temujanji dengan doktor pakar pada hari yang sama. Ia seolah-olah alasan untuk saya mengelak menyertai mereka,” katanya.
Bagaimanapun, kata-kata Ustaz Amar membuatkan hatinya terkesan dan memberi kesedaran hingga membuatkan dia bertukar fikiran untuk mengikut aktiviti mereka.
View this post on Instagram
“Katanya, buat perkara baik banyak ujian sebab benda ini sangat-sangat mahal. Tak semudah kita pelan terus jadi, melainkan kita sudah nekad dan Allah sebenarnya nak tengok hati kita.
“Insya-Allah kena banyak doa malam ini minta Allah mudahkan. Itu memang bagi saya kesan dan fikir semula. Saya yang tergerak hati sebelum ini dan cari mereka.
“Selepas berfikir mendalam sehingga jam 3 pagi. Kemudian saya menghantar WhatsApp kepada klinik saya tak dapat hadir temujanji. Selepas itu saya maklumkan kepada Ustaz Amar saya akan ikut. Saya beritahu isteri siapkan kelengkapan saya,” katanya.
Aliff berkata, pengalaman menyertai jemaah tabligh selama tiga hari cukup menyeronokkan kerana mereka langsung tidak memandang rendah terhadap status dan kisah silam seseorang.
“Mula-mula saya agak segan. Namun, mereka tidak pernah menilai status kita dan kisah hitam kita. Kita semua datang ke situ atas usaha dan matlamat yang sama.
“Allah bagi saya rasa manis itu. Selepas 30 tahun hidup, saya sedar inilah yang saya terlepas selama ini. Selama di sana, saya belajar mengenai adab dan dengar cerita mengenai Rasulullah. Saya juga berjumpa dengan Saharul di sana dan kami langsung tidak bercerita mengenai kerjaya seni. Fokus kami memang nak cari kebesaran Allah,” katanya.
Sebelum ini, nama Aliff kerap terpalit dengan pelbagai isu panas iaitu siri kecurangan, video lucah dan perbuatan mencuri.Aliff mendirikan rumah tangga pada 2016 bersama pelakon Bella Astillah dan dikurniakan dua orang anak, Muhammad Ayden Adrian, 3, dan Ara Adreanna yang kini berusia setahun.
Sumber:IG Aliff Aziz/HM