Masjid Jamek Sultan Abdul Samad Sesak, Orang Awam Solat Subuh Berjemaah Sebelum Ke Dataran Merdeka
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam satu tweet sebentar tadi berkongsi satu video suasana di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad yang sangat menyentuh hati.
Menerusi tweet berkenaan, video berkenaan difaham merakam suasana solat subuh hari ini dimana ia penuh dengan jemaah. Sebahagian besar jemaah-jemaah itu merupakan orang ramai yang terlebih dahulu menunaikan kewajipan agama sebelum berkumpul di Dataran Merdeka.
”Pelihara hubungan dengan Allah setiap masa, itu erti merdeka yang hakiki,” menurut tweet berkenaan.
Alhamdulillah. Suasana orang ramai memenuhi Masjid Jamek Sultan Abdul Samad menunaikan solat Subuh berjemaah pagi tadi sebelum menghadiri sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka. Pelihara hubungan dengan Allah setiap masa, itu erti merdeka yang hakiki. pic.twitter.com/fp65aPLLbt
— JAWI Official (@myJAWIKL) August 31, 2022
Seperti yang kita tahu, hari ini Malaysia menyambut Hari Kebangsaan 2022 dengan acara di peringkat Persekutuan diadakan di lokasi berkenaan.
Menerusi laporan BERNAMA sebelum ini, orang awam mula membanjiri Dataran Merdeka sejak awal lagi bermula jam 4.30 pagi.
Sambutan Hari Kebangsaan kali ini nyata mendatangkan keterujaan buat rakyat Malaysia selepas ia ditangguhkan untuk dua edisi lepas ekoran pandemik Covid-19 yang melanda dunia.
Ia dimeriahkan dengan pelbagai acara termasuk persembahan peserta, perarakan kebudayaan dan perbarisan anggota Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan agensi-agensi kerajaan yang lain termasuk aset masing-masing.
Antara yang paling mencuri tumpuan tentunya pertunjukkan udara melibatkan pesawat tempur negara seperti Sukhoi Su-30MKM dan F/A-18D Hornet.
Selain itu, perarakan melibatkan beberapa buah lori Milo turut mendapat tepukan gemuruh apabila ia mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak sebahagian rakyat Malaysia.
Sumber : Siakap Keli