Mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Jelaskan Apa Yang Akan Dia Buat Selepas Dapat Jawatan Yang Sama Seperti Menteri

Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf Menteri.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, keputusan itu dibuat Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 1 September lalu.

Menurut beliau, pelantikan bekas Perdana Menteri ke-8 itu telah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Pelantikan ini juga dibuat atas dasar keyakinan kerajaan terhadap kemampuan Muhyiddin untuk menerajui strategi pemulihan negara, demi mencapai impak ekonomi terbaik dan memulihkan semula kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

“Pihak kerajaan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Muhyiddin di atas pelantikan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan Penuh Tan Sri Muhyiddin Yassin

Alhamdulillah, saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Jemaah Menteri, khususnya Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, atas pelantikan saya sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf Menteri.

Saya juga menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang telah memperkenankan pelantikan saya.

Saya berbesar hati menerima pelantikan ini dan akan menjalankan tugas secara sukarela tanpa apa-apa imbuhan.

Kepercayaan yang telah diberikan oleh Kerajaan ini merupakan suatu amanah untuk saya meneruskan segala usaha dan perancangan yang telah dimulakan sebelum ini untuk memulihkan negara daripada kesan wabak COVID-19.

Saya dan anggota Majlis Pemulihan Negara akan berperanan membantu YAB Perdana Menteri dan Kerajaan pimpinan beliau membawa Malaysia melalui fasa-fasa pemulihan sepertimana yang telah digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara.

Ini termasuk menyokong pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, memudah cara pembukaan sektor-sektor ekonomi, sosial, pendidikan dan keagamaan serta mewujudkan kesedaran masyarakat terhadap pematuhan kepada norma baharu kehidupan selaras dengan peralihan pengurusan COVID-19 yang akan memasuki fasa endemik.

Insya-Allah, saya akan memanfaatkan segala pengalaman yang ada dan mengharapkan sokongan semua pihak dalam semangat Keluarga Malaysia bagi memastikan matlamat melindungi nyawa, menjamin kelangsungan hidup dan memulihkan negara akan mencapai kejayaan.

TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN

Mantan Perdana Menteri. 4 September 2021

Sumber : Utusan Online / FB Muhyiddin Yassin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *