Seorang pemilik syarikat warga tempatan kehilangan wang persiapan untuk Aidilfitri berjumlah RM6,500 dalam kejadian pecah kereta ketika sedang menziarahi Tanah Perkuburan Islam Lipat Kajang di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi ketika mangsa yang juga warga emas berusia 61 tahun meletakkan kenderaan jenis Toyota Estima yang dipandu lebih kurang 100 meter daripada petak kubur yang diziarahinya.
“Mangsa kembali ke kenderaannya kira-kira jam 9.30 pagi dan mendapati cermin bahagian pemandu telah pecah.
“Mangsa bagaimanapun tidak mendengar bunyi penggera kereta dan dipercayai pintu kereta tidak dibuka,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, ketiadaan kamera litar tertutup (CCTV) menyukarkan siasatan tetapi menurut anak mangsa dia terlihat seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan berlegar-legar di sekitar lokasi tersebut sebelum kejadian berlaku.
“Anak mangsa melihat suspek berpakaian baju T lengan pendek dan berseluar pendek. Pengecaman berdasarkan tangan yang berkulit gelap.
“Suspek dipercayai seorang lelaki tempatan menunggang motosikal kuning jenis Yamaha RXZ tetapi tidak dapat dipastikan nombor pendaftaran,” katanya.
Katanya, barang yang dicuri ialah sebuah beg galas mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad bank, buku cek milik syarikat dan wang tunai berjumlah RM6,500 milik mangsa.
VIDEO:
Allahuakhbar. Kami nak pergi kubur je tapi kereta kena rompak. Astaghfirullahalazim. Saya minta tolong jasa warga twitter tolong cari kerja siapa ni. Dalam bag ada macam2 document penting. Tolong share… pic.twitter.com/rwvjwQFkWg
— Bulan (@fathiahmohd) April 29, 2022
Sebahagian netizen turut menyatakan, ada juga pencuri yang sudah target di kawasan-kawasan terpencil seperti rumah ibadah dan tanah perkuburan kerana selalunya orang ramai akan meninggalkan beg di dalam kenderaan.
Netizen juga mendoakan agar mangsa boleh mendapatkan semula dokumen-dokumen penting tersebut dan pihak polis dapat mengesan pelaku terbabit secepat mungkin untuk dikenakan tindakan yang setimpal.
Sumber : Sinar Harian