Bekas Pemain Harimau Malaya Terbuka Hati Memeluk Islam. Ini Nama Yang Dipilih Selepas Mengucap Dua Kalimah Syahadah

KUANTAN: “Sudah lama saya tertarik dengan Islam apabila sering melihat rakan-rakan solat dan menjalani kehidupan sebagai seorang muslim.

“Kira-kira dua tahun saya memendam hasrat untuk memeluk Islam sebelum hari ini hati saya terbuka mengucap kalimah Syahadah secara rasmi,” kata bekas pemain bola sepak kebangsaan dan Pahang, R Gopinathan yang mengumumkan dirinya kembali kepada fitrah hari ini.

Beliau mengambil keputusan untuk mengucap kalimah Syahadah secara rasmi di Pejabat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu (MUIP) Pahang, di sini, kira-kira jam 11 pagi selepas berfikir panjang.

“Saya ditemani ibu saudara hari ini dan melafazlkan kalimah Syahadah di hadapan seorang ustaz. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar,” kata pemain sayap yang kini beraksi untuk pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) FA.

Pemain berusia 30 tahun itu berkata, hasratnya untuk memeluk Islam sudah diketahui keluarganya dan diterima baik.

“Sebelum ini ada tiga empat saudara terdekat saya memeluk Islam, saya banyak perhatikan cara kehidupan mereka selain melihat rakan-rakan Islam lain. Bagaimana mereka solat dan menjalani ibadah membuatkan saya tertarik,” katanya.

Gopinathan berkata, selepas menjadi muallaf dia menggunakan nama Muhammad Gopi Rizqi Bin Rama Chandra.

Pada 2016, Gopi menyertai skuad Selangor selepas enam tahun menyarung jersi skuad Tok Gajah.

Beliau kemudian menerima tawaran untuk beraksi dengan skuad skuad Johor Darul Takzim pada tahun 2017.

Sumber: Bharian Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *