‘Blackout’ 1 Malaysia, Ini Rakaman Punca Kenapa Elektrik Tiada. Tengok Pun Dah Seram

Tenaga Nasional Berhad (TNB) Johor mengakui berlaku percikan api atau ‘flashover’ di Pencawang Masuk Utama (PMU) di Yong Peng, tengah hari tadi.

Bagaimanapun, Pengurus Besar TNB Johor, Mohamed Noh Md Seth, berkata tiada pengguna atau kawasan di negeri ini terjejas dengan kejadian berkenaan.

“Ya berlaku ‘flashover’ di PMU Yong Peng tengah hari tadi, namun tiada pengguna di Johor terbabit gangguan bekalan.

“TNB Ibu Pejabat akan mengeluarkan kenyataan lanjut mengenai insiden ini,” katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas satu video berdurasi 25 saat yang tular di media sosial tengah hari tadi yang didakwa membabitkan kejadian percikan api di PMU Yong Peng itu.

Dalam pada itu, Mohamed Noh berkata, walaupun tidak terbabit gangguan bekalan elektrik besar-besaran yang berlaku di Lembah Klang dan beberapa negeri lain, TNB Johor tetap membuka bilik gerakan sebagai persediaan menghadapi gangguan bekalan elektrik sekiranya berlaku.

“Saya dimaklumkan sememangnya tiada gangguan secara besar-besaran terjadi di Johor buat masa ini.

“Jadi saya nasihatkan semua pengguna tidak panik dan seperti saya katakan kita mengaktifkan bilik gerakan seawal jam 1.22 tengah hari lagi.

“Kita tunggu kenyataan daripada pihak ibu pejabat berkaitan perkara ini dan maklumat terbaharu nanti,” katanya.

Dalam pada itu, TNB melalui kenyataan mengesahkan gangguan bekalan elektrik yang berlaku di beberapa kawasan di Semenanjung, termasuk di Lembah Klang sejak tengah hari tadi, pulih sepenuhnya jam 3.02 petang tadi.

Melalui kenyataan, TNB berkata kebanyakan kawasan terjejas berjaya dipulihkan secara berperingkat seawal 20 minit selepas gangguan berlaku, dengan siasatan mendapati gangguan bekalan bermula jam 12.39 tengah hari berpunca kerosakan di salah satu peralatan di PMU Yong Peng North.

Kerosakan itu mengakibatkan kehilangan beban sebanyak 2.2 gigawatt (GW) yang juga 10 peratus daripada keseluruhan permintaan bekalan di Semenanjung Malaysia.

VIDEO:

Sumber : BHARIAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *