MACAM dalam filem!
Begitulah detik mencemaskan yang dilalui sebahagian pengguna jalan raya apabila sebuah kereta terbakar di jalan menghala ke Genting Highlands, Pahang.
Menerusi video yang kini tular di media sosial, sebuah kereta jenis Hyundai Elantra terbakar.
Video yang dimuat naik oleh pengguna TikTok @kas_man88_tks pada Isnin merakamkan orang awam memadamkan kebakaran menggunakan pemadam api.
Lebih mencemaskan apabila satu lagi video menunjukkan kereta yang terbakar itu secara tiba-tiba mengundur ke belakang menuruni bukit.
Suasana panik itu membuatkan pengguna jalan raya cuba bergerak bagi mengelakkan terkena kereta berkenaan.
Kereta warna putih yang terbakar itu kemudian berhenti selepas melanggar sebuah kenderaan lain jenis Toyota Vellfire.
Video kedua dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok @ren.pmx, yang dirakamkan daripada pandangan atas, dipercayai dari kereta kabel untuk ke pusat peranginan itu.
Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen menghargai bantuan orang awam yang cuba memadamkan kebakaran.
Malah, mereka turut berterima kasih kepada pemilik kereta Totoya Vellfire kerana ‘menahan’ kereta yang terbakar, sekali gus mengelakkan daripada insiden yang lebih buruk berlaku melibatkan pengguna jalan raya lain.
“Nasib baik ada peti ais tolong tahan.
“Vellfire, pengorbananmu tidak didendang. Ketika api marak membakar, namun dirimu teguh bertahan demi sekelumit rasa, tengah bersajak ke tu?
“Vellfire is reda.
“Vellfire handle fire very well (Vellfire mengendalikan api dengan sangat baik).
“Vellfire juga yang tolong, good job abang long,” demikian antara komen-komen netizen.
Dalam pada itu, pengguna TikTok @kas_man88_ yang memuat naik video pertama memaklumkan bahawa kesemua mangsa yang menaiki kereta terbakar itu selamat.
“Orang selamat, laki bini ada tiga anak kecil. Kasihan nak bercuti kena musibah. Semoga abang tu sihat selalu,” katanya.
Kereta terbakar, lima sekeluarga terselamat
ima sekeluarga berdepan detik cemas selepas kereta dinaiki mereka terbakar di Kilometer 2.9 menuju Genting Highlands, semalam.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kelima-lima mangsa terdiri daripada pasangan suami isteri dan tiga anak mereka.
Menurut Zulfadli, lima anggota bomba bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting Highland ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima laporan berhubung kejadian itu.
“Kita dapati sebuah kereta jenis Hyundai Elantra terbakar dan mengelunsur turun kira-kira 100 meter dalam keadaan api sedang marak.
“Justeru, operasi pemadaman menggunakan dua aliran hos bantu mula dibantu hos dari Unit Kebakaran Genting Highlands ketika kejadian itu berlaku,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dipadamkan dan kereta tersebut musnah hampir 80 peratus.
Jelasnya, punca kebakaran masih dalam siasatan.
Sebelum ini tular satu video berhubung kejadian yang sempat dirakam seorang netizen dipercayai berada di atas kereta kabel sebelum dimuat naik melalui aplikasi Tiktok.
Berdasarkan rakaman video itu, beberapa pemilik kenderaan berdepan detik cemas selepas kereta terbakar itu mengelungsur turun dan merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).
VIDEO:
Sumber : MSTAR ONLINE / ASTRO AWANI / MALAYSIA GAZETTE