(Video) Kerana Fungsi ‘Check Out’ Dalam MySejahtera, Khairy Jamaluddin Beritahu Sebelum Ini Dia ‘Tidur’ Dimana

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) sedang meneliti kaedah terbaik untuk memastikan ciri daftar keluar atau ‘check-out’ dalam aplikasi MySejahtera dapat digunakan dengan sempurna.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, beliau sedia maklum tentang aduan atau rungutan pelbagai pihak tentang ciri terbabit.

“Kita sedang berusaha mencari beberapa penyelesaian. Ciri tersebut dimasukkan ke dalam MySejahtera bertujuan untuk mendapatkan maklumat lokasi anda dengan tepat.

“Cuma dari segi pelaksanaannya perlu dimantapkan lagi,” katanya dalam sidang media khas pada Jumaat.

Tambah Khairy, tempoh pemberian dos kedua vaksin AstraZeneca akan dipendekkan kepada enam minggu berbanding sembilan minggu sebelum ini bermula 1 Oktober.

“Ia sebagai usaha untuk memudahkan penerima dos vaksin AstraZeneca,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut menasihatkan ibu bapa agar tidak bergegas ke pusat pemberian vaksin (PPV) kerana jadual janji temu vaksinasi remaja dibuat dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) terlebih awal.

“Remaja yang tidak bersekolah, sedang melanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi awam atau swasta dan belajar dari rumah, mereka sahaja dibenarkan untuk ‘walk-in’ di PPV. Perkara ini sudah disebut berulang kali tetapi masih ada ibu bapa yang ‘walk-in’.

“Saya juga mengarahkan agar tidak prosedur operasi standard (SOP) berbeza kepada ibu bapa. Ada sesetengah PPD dan PKD mendakwa pemberian vaksin tidak perlu mengikut jadual ditetapkan, boleh ‘walk-in’ sahaja, itu tidak benar.

“Ibu bapa tidak perlu risau, pemberian vaksin tidak akan memakan masa berbulan lamanya. Hanya mengambil masa beberapa hari atau beberapa minggu, cuma pihak KKM mahu susun aturannya dengan teliti bagi mengelakkan kesesakan,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Khairy memaklumkan pemberian dos ketiga akan diberikan kepada golongan sasaran terlebih dahulu bermula Oktober.

“Ketika ini, KKM sedang membangunkan garis panduan pelaksanaan dos penggalak dan dos ketiga serta akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) akan datang,” katanya lagi.

Menurut Khairy, pihaknya juga sedang mengadakan rundingan dengan sebuah syarikat pengeluar vaksin Covid-19 untuk mendapatkan perolehan bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

“Syarikat berkenaan sudah mengeluarkan data vaksinasi kepada golongan itu. Kita akan menilai data-data berkenaan,” jelas beliau.

Saya Sendiri ‘Tidur’ di Pasar Raya..KJ Jawab Isu ‘Check Out’ MySejahtera

Sumber : MSTAR ONLINE / Malaysia Gazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *