Dikatakan kemal4ngan Kento Momota sabotaj pihak tertentu, ini jawapan TPM

KERAJAAN menzahirkan kesesalan terhadap pemain badminton nombor satu dunia, Kento Momota dan tiga individu lagi yang terbabit dengan nahas jalan raya semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkata, kemalangan hingga mencederakan Momota termasuk tiga mangsa lain serta menyebabkan seorang pemandu warga tempatan maut adalah situasi tidak diduga.

Katanya, perhatian dan rawatan terbaik diberikan kepada mangsa supaya mereka dapat pulih seperti sediakala dalam masa terdekat.

“Saya sudah melawat Kento Momota dan dapati dia stabil. Kami kesal insiden yang berlaku. Saya juga sempat ucapkan tahniah kepada Momota atas kejayaannya memenangi kejohanan badminton terbuka Malaysia. Apa-apa pun kita kesal ini (kemalangan) berlaku.

“Alhamdulillah, dia (Momota) stabil dan doktor katakan apa yang dia alami boleh diatasi. Dia memerlukan sedikit masa supaya bengkak kurang dan akan baik.

“Saya jumpa tiga individu lain, seorang alami sedikit kecederaan satu di kaki, seorang patah tulang dan semua diberikan perhatian serta rawatan terbaik. Alhamdulillah, semua stabil dan dijangka akan dapat pulih tak lama lagi,” katanya kepada pemberita selepas melawat Momota di Hospital Putrajaya, hari ini.

Ditanya, adakah insiden yang berlaku memberi kesan terhadap hubungan Malaysia-Jepun, Timbalan Perdana Menteri menegaskan bahawa apa yang berlaku adalah perkara tidak diduga.

Beliau juga menafikan kemal4ngan yang menimpa pemain badminton nombor satu dunia itu berpunca daripada sabotaj pihak tertentu.

“Kita tak menduga ini berlaku. Tak akan kita kita nak itu berlaku. Tak ada elemen sabotaj. Kemalangan berlaku terhadap sesiapa walaupun dia bukan juara,” katanya.

Beliau turut menghadiahkan madu kelulut kepada Momota dan tiga mangsa terbabit kemalangan itu.

Menggambarkan keadaan Momota ketika ini, Dr Wan Azizah berkata, hidung pemain badminton dari Jepun itu mengalami sedikit kecederaan dan memerlukan kira-kira enam minggu untuk pulih.

Soal bila Momota akan keluar hospital, Dr Wan Azizah berkata, ia akan dibincangkan dan keadaan pemain badminton itu akan dipantau dan dirawat supaya tiada risiko.

Difahamkan, Momota memerlukan sehari lagi untuk rawatan di Hospital Putrajaya sebelum dibenarkan pulang.

Semalam, kemalangan jam 4.45 pagi itu berlaku apabila van dinaiki lima mangsa berlanggar dengan sebuah lori ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Selain Momota, tiga mangsa lain adalah Pegawai Teknikal Persekutuan Badminton Dunia (BWF), William Thomas, 30, dari England; pembantu jurulatih Jepun, Hirayama Yu, 35 dan Pegawai Fisioterapi Jepun, Marimoto Akifumk, 42.

Pemandu van berkenaan, B Nageswarau, 24, yang tersepit di tempat duduknya, disahkan meningg4l dunia di lokasi kejadian.

Sumber Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *