Tiada Gelembung Pelancongan Seterusnya Jika Langkawi Gagal, Kerajaan Masih Pertimbang Kelonggaran Rentas Negeri, Ini Penjelasan Datuk Seri Hishammuddin

Menerusi kenyataan media Menteri Kanan (Pertahanan) Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin hari ini, projek rintis gelembung perjalanan di Pulau Langkawi, Kedah akan dijadikan sandaran untuk membuka lebih banyak destinasi pelancongan selepas ini.

Kelonggaran selepas dua tahun

Menurut Hishammuddin, keputusan mewujudkan gelembung pelancongan sedemikian dibuat berteraskan faktor kebajikan rakyat, termasuk kesihatan mental. Meskipun akur ia berupaya mengundang gelombang baharu penularan jangkitan, beliau berkata, rakyat memerlukan kelonggaran berkenaan selepas hampir dua tahun mengharungi pandemik COVID-19.

Kalau nak dikirakan, gelembung pelancongan ke Pulau Langkawi ini tidak mengira fasa negeri, sebaliknya bersandarkan keperluan lengkap vaksinasi dan bukan dari kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Justeru, keputusan ini dibuat atas dasar kebajikan rakyat, tiada kena mengena dengan ekonomi, selepas sekian lama terkurung di rumah. Ia bukan mudah untuk kita benarkan pergerakan rentas negeri seperti ini, tetapi kerajaan perlu juga melihat kesan kesihatan mental yang perlu diseimbangkan. Bagaimanapun, jika Pulau Langkawi gagal (sebagai gelembung pelancongan), maka tiada lagi gelembung untuk ke destinasi lain yang akan diluluskan.

Kelonggaran baharu masih dipertimbangkan

Sehubungan itu, Hishammuddin turut memaklumkan bahawa Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik telah bersetuju untuk membenarkan beberapa kelonggaran baharu yang dinilai berada pada tahap risiko rendah. Tambah beliau, kerajaan juga akan meneliti dan mempertimbangkan beberapa lagi bentuk kelonggaran tambahan bagi sektor sosial dan ekonomi.

Antara aktiviti yang sedang dipertimbangkan oleh kerajaan ialah aktiviti pelancongan selain daripada destinasi yang termasuk dalam inisiatif gelembung pelancongan. Menambah destinasi di bawah inisiatif gelembung pelancongan untuk destinasi bukan pulau serta pembukaan gimnasium. Namun, sebelum kelonggaran diumumkan, KKM akan terlebih dahulu melakukan penilaian tahap risiko jangkitan Covid-19. Sekiranya ia memenuhi syarat serta kriteria yang ditetapkan, kerajaan akan membenarkan pelaksanaannya. Pada masa yang sama, kerajaan masih memperhalusi kebenaran merentas negeri buat rakyat dalam masa terdekat.

Sumber: MKN Via OB

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *