Honda Civic Type R Untuk Tahun 2020. Warna Biru Merecik Habis, Ini Ciri Ciri Istimewa Kereta Kegilaan Ramai

Acara Tokyo Auto Salon 2020 yang kini sedang berlangsung menyaksikan kemunculan Honda Civic Type R versi facelift. Model hot hatch ini hadir dengan beberapa penambahbaikan yang membabitkan reka bentuk serta kelengkapan.

Bagi tahun 2020, Civic Type R bukan sahaja boleh didapati dalam warna baharu Boost Blue yang bergaya, malah ia juga didatangkan dengan bukaan jeriji yang lebih besar bagi membantu penyejukan enjin.

Versi facelift ini turut menampilkan komponen yang ditambahbaik seperti cakera brek dua bahagian (two-piece) dengan pad brek baharu yang direka untuk melambatkan kesan haus.

Selain itu, sistem suspensi kini dipadankan dengan peredam baharu untuk pemanduan harian yang lebih selesa, manakala bushing belakang diganti dengan unit yang lebih keras bagi menghasilkan tahap cengkaman yang lebih tinggi.

Bukan itu sahaja, sistem suspensi bahagian hadapan turut direka semula bagi mendapatkan tindak balas yang lebih segera dengan cara mengurangkan geseran.

Masuk ke dalam kabin, Civic Type R mendapat stereng yang dibalut Alcantara serta tombol gear baharu dengan lontaran yang lebih pendek.

Bagi pasaran Amerika Syarikat, ciri keselamatan dan bantuan pemandu Honda Sensing buat pertama kalinya disertakan secara standard pada semua varian Civic, termasuk Type R.

Seperti sebelum ini, enjin VTEC Turbo 2.0-liter empat silinder menjana 306hp dan 400Nm yang disalurkan ke gandar hadapan menerusi transmisi manual enam kelajuan dan Limited Slip Differential.

Selain mod pemanduan Comfort, Sport dan +R, Civic Type R juga hadir dengan ciri Active Sound Control yang ditugaskan untuk melaraskan tahap bunyi di dalam kabin berdasarkan mod yang dipilih.

Sumber : GEMPAK

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *