Selepas sehari mendiamkan diri ekoran membuat ciapan kontroversi seakan mempersendakan angka jangkitan pandemik COVID-19, penyanyi Iman Troye akhirnya memohon maaf menerusi hantaran dimuat naik dalam laman Instagram, malam ini.
Iman atau nama sebenarnya, Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin, 19, dalam kemas kini terbaru itu mengakui kesilapan dilakukan.
“Saya mohon maaf atas kesilapan yang berlaku. Saya hanya tersedar melakukan kesilapan selepas ciapan dimuat naik. Ia mengelirukan dan itu kesilapan saya.
“Saya bersikap tidak sensitif dan kesilapan seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Saya langsung tidak berniat melukakan hati sesiapa termasuklah petugas barisan hadapan dan mereka yang terkesan akibat COVID-19.
“Saya minta maaf, saya belajar daripada kesilapan. Saya benar-benar mohon maaf. Terima kasih kepada semua yang menegur. Saya akan cuba jadi insan lebih baik. Jaga diri semua,” tulis penyanyi yang popular menerusi lagu Teman itu.
Kelmarin, ciapan dibuat mengenai angka jangkitan COVID-19 menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan netizen yang dianggap tidak sensitif sehingga ramai memohon nama Iman disenarai hitam daripada industri seni.
Dalam ciapan itu, Iman menulis angka jangkitan harian COVID-19 disertai perkataan ‘happy’ yang seakan gembira dengan angka jangkitan yang kian membimbangkan.
“Happy 6,900 everyone! Tahniah! Harap esok dapat 7,000 hihi,” tulisnya.
Tindakan Iman menyebabkannya menerima kecaman teruk kerana menjadikan isu serius yang sudah mengorbankan banyak nyawa sebagai bahan gurauan.
Malah, ada di kalangan pengguna Twitter memintanya memadamkan ciapan berkenaan kerana menganggap perkara itu sebagai tidak kelakar.
“Padam ciapan itu. Ia sangat tidak kelakar. Ramai yang mati disebabkan COVID-19,” itu antara komen dibuat pengikut Twitter.
Selepas dikecam teruk akibat ciapan berkenaan, Iman akhirnya dilihat menyahaktif akaun Twitter, beberapa jam kemudian.