Jubah Konvo Terkoyak Dan Dia Harus Bayar RM500 Pada Universiti

KETIKA graduan lain bergembira menerima sijil transkrip masing-masing, lain pula kisahnya dengan pemuda kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini.

Dia yang mahu dikenali sebagai Nik Hakeem terpaksa membayar ganti rugi selepas jubah konvokesyennya terkoyak tidak lama selepas selesai majlis itu 17 Oktober lalu.

Berikutan itu, Nik Hakeem, 20, yang juga graduan Diploma Perbankan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu perlu membayar ganti rugi RM500 kepada universiti.

Bagaimanapun, anak sulung daripada empat beradik itu berdepan kesulitan untuk membayar ganti rugi berkenaan dan atas dasar simpati, rakannya, Shamila Abdul Majid, 20 berkongsi kisah itu di Twitter dengan niat meringankan beban Nik Hakeem.

Menceritakan kisah sebenar, Nik Hakeem berkata, insiden berlaku ketika dia membonceng motosikal rakan ketika dalam perjalanan pulang ke asrama selepas selesai majlis konvokesyen.

“Pada waktu itu, saya memegang jubah itu sebelum menyedari kain jubah tersangkut pada rantai motosikal selepas kenderaan itu tidak dapat bergerak.

“Sebaik motosikal berhenti, saya dapati sebahagian jubah itu sudah koyak dan saya gementar ketika itu kerana memikirkan bagaimana mahu mencari wang untuk membayar ganti rugi.

“Duit simpanan yang ada juga tidak banyak dan ikutkan saya memang tidak mahu menyusahkan ibu dan ayah.

“Mujur ada rakan membantu dan lebih terharu apabila mereka berkongsi kisah saya di Twitter hingga ada individu lain turut sama menyumbang,” katanya ketika dihubungi.

Nik Hakeem berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kepada pihak yang menyumbang kerana sanggup membantu walaupun tidak mengenalinya.

Malah sumbangan diterimanya mencukupi dan tidak melebihi seperti mana dianggap segelintir warganet.

“Alhamdulillah, jumlah wang yang diperlukan mencukupi dan tidak lebih daripada sasaran jadi tiada sebab untuk saya menyalahgunakan sumbangan diberikan.

“Terima kasih kepada semua yang membantu dan bayaran ganti rugi itu akan saya jelaskan kepada universiti Ahad ini.

“Saya akur untuk membayar ganti rugi kerana ia termaktub dalam peraturan dan apa yang berlaku disebabkan kecuaian sendiri.

“Semoga kisah ini menjadi pengajaran kepada graduan lain supaya berhati-hati agar tidak menerima nasib sama.

“Jubah itu akan disimpan sebagai kenangan yang tidak akan dilupakan,” katanya yang kini menyambung pengajian jurusan Ijazah Kewangan Islamik.

Sementara itu, Shamila berkata, dia berkongsi kisah itu dengan niat mahu membantu Nik Hakeem yang ketika itu berada dalam kesusahan.

“Sebagai rakan, saya tidak tergamak melihat dia dalam kesusahan dan cuba mencari jalan membantunya dengan memuat naik ciapan di Twitter.

“Pada masa sama, saya dan rakan lain turut sama menyumbang kepadanya.

“Alhamdulillah, usaha kami berhasil,” katanya.

Sumber : HMETRO ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *