Beberapa orang penumpang sebuah syarikat penerbangan terpaksa berpanas selama satu jam di dalam pesawat selepas pendingin hawanya tidak berfungsi.
Melalui perkongsian sebuah video berdurasi satu minit empat saat di Twitter memaparkan, para penumpang tidak senang duduk apabila terpaksa berpanas dalam pesawat terbabit.
Turut kelihatan beberapa orang kanak-kanak menangis akibat kepanasan.
Menurut perkongsian sebuah lagi video difahamkan, penumpang di dalam pesawat itu juga terpaksa pula menunggu lebih kurang dua jam kerana penerbangan ditangguhkan.
Pesawat itu juga dipercayai dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Sandakan, Sabah.
Penumpang Ini Ceritakan Apa Yang Berlaku
Cerita Muhammad Nazri Mohd Shah atau lebih dikenali sebagai Babah, 27, menunggu penerbangan berikutnya dalam kapal terbang yang panas membuatkan penumpang mula rasa tidak selesa sehinggakan ada yang hampir pengsan kerana semput.
“Duduk macam biasa lepas itu makin lama makin drag lama masa tu kita pun dah rasa lain dah… budak-budak pun dah menangis.
“Ada abang tu pun dah start nak semput dan buka baju terasa nak pengsan lepas daripada tu dah ramai yang provoke.
“Memanglah prosedur, prosedur mereka kena ikut step by step tapi dalam keadaan macam ini kita fikir takkan lama sangat nak dapatkan maklumat (bantuan)” katanya kepada mStar.
Untuk rekod, penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sandakan, Sabah itu sepatutnya berlepas pada pukul 10:30 pagi, namun terpaksa ditunda dan menunggu pertukaran kapal terbang lain.
Tinjauan di ruang komen mendapati, rata-rata pengguna mengecam kualiti perkhidmatan syarikat penerbangan tersebut.
“Pertama kali nampak kapal terbang ada masalah macam ini. Memalukan, sebab kita tahu berapa harga tiket yang mereka tawarkan bukannya murah,” kata Maia.
“Dengan panas, budak-budak menangis lagi. Tiket kira ‘refund’ ke macam mana?,” soal Sharizezhan.
“Kasihannya penumpang, nak buka tingkap pun tak boleh. Sepatutnya periksa dahulu, pelanggan bayar bukannya naik percuma,” kata Jai.
“Dah beberapa hari sebenarnya video ini, tapi syarikat itu masih belum keluarkan apa-apa permohonan maaf,” kata Zue.
Sehingga kini, video tersebut telah ditonton lebih 75,000 kali.
VIDEO:
Sumber : Kosmo Online! / MSTAR ONLINE