Kerana Kedekut Nak Kongsi Air Milo Dengan Bella Astillah, Pihak Milo Tampil Dan Beri Respond

GARA-gara pelakon Bella Astillah memuatnaik gambarnya di laman sosial menunjukkan wajah sedihnya dari dalam kereta sambil menghulurkan tangan, ia kini menjadi meme dalam kalangan warganet yang meniru aksinya sebagai bahan gurauan.

Antara meme foto Bella atau Dayang Nabellah Awang Astillah, 25, termasuklah perkongsian seorang pemuda di laman Twitter yang memuatnaik gambarnya juga di dalam kereta sambil memegang tin minuman Milo, dengan aksi seperti tidak mahu berkongsi minuman dengan selebriti itu.

“Eh, beli sendirilah,” tulis pengguna Twitter itu menerusi akaun @gemsthegems sehingga tular dan dikongsi lebih 14,000 kali dengan lebih 15,000 tanda suka.

Bukan setakat pengikut laman sosial itu, malah akaun Twitter rasmi Milo Malaysia (Milo) turut memberi respons kepada tweet pemuda berkenaan.

“Amboi… janganlah kedekut. Nahhh kami bagi satu karton tin Milo dan kongsikan dengan kawan-kawan ye,” tulis pengendali akaun Milo pada petang Khamis.

Gambar Gems yang diambil sendiri untuk memberi respons kepada meme Bella Astillah meraih perhatian ramai di laman sosial. -foto Twitter gemsthegems

Pengguna Twitter yang hanya mahu dikenali sebagai Gems itu berkata, dia tidak menyangka meme yang dilakukannya sekadar suka-suka meraih perhatian.

Berkongsi kisah di sebalik meme berkenaan, segalanya bermula ketika pemuda berusia 30 tahun itu sedang menunggu rakannya yang bekerja di sebuah klinik di Petaling Jaya, Selangor pada Rabu.

“Masa tu saya dalam kereta sedang tunggu rakan saya habis bertugas di klinik. Rakan ada berikan saya satu tin Milo untuk minum sementara tunggu dia.

“Saya teringat gambar Bella di laman sosial yang dijadikan meme dan saya ada simpan gambar tu untuk dijadikan bahan gurauan. Jadi saya ambil gambar sendiri secara spontan sebagai meme kepada aksi dia, sekadar suka-suka,” katanya kepada mStar.

Respons Milo kepada perkongsiannya di laman sosial sebenarnya dianggap lucu selepas Gems yang berasal dari Ipoh, Perak itu sendiri membuat pautan kepada akaun Twitter Milo di bebenangnya.

“Tapi kelakar apabila Milo kata saya kedekut. Pada masa sama, saya rasa bertuah sebab Milo nak berikan satu karton tin Milo kepada saya.

“Milo ada DM (mesej peribadi) minta butiran saya dan memaklumkan untuk menghantar satu karton kepada saya dijangka minggu depan. Harapnya adalah nanti,” tambahnya.

Gems yang merupakan pelukis ilustrasi itu bagaimanapun meluahkan rasa kesalnya kerana menggunakan gambar Bella sebagai bahan gurauan di laman sosial.

“Walaupun sekadar meme, tapi rasa bersalah sangat pula guna gambar dia. Saya rasa nak tebus rasa bersalah tu dengan memberikan satu tin minuman Milo kepada Bella.

“Saya ada DM Bella di akaun Instagram dia fasal hal ni, kalau dia ada respons lebih awal, saya akan beri satu tin kalau dia sudi.

“Kalau tak ada respons, dan kalau Milo memang betul-betul beri satu karton yang ada 24 tin Milo, saya akan kongsikan dengan Bella,” ujar anak bongsu daripada empat beradik itu.

Gems bagaimanapun menegaskan kesudiannya itu bukan mahu memikat Bella yang diketahui kini berstatus single, tetapi bagi menebus rasa bersalahnya.

“Dapat kongsi tin Milo yang saya dapat dan bergambar bersama Bella pun OK! Jangan bimbang, saya sudah berpunya,” katanya.

Sumber : MSTAR ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *