Remaja yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah untuk menunaikan solat subuh di Masjid Al Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan, Cheras di sini Ahad lalu, ditemukan selamat di Kedah.
Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, remaja berkenaan, Muhammad Al Muizz Almawardi, 16, ditemukan di Pokok Sena, Kedah hari ini, hasil maklumat orang awam.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat awam, lebih kurang 9 pagi, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras pergi ke Pokok Sena dan menemui remaja berkenaan dalam keadaan baik di rumah rakannya.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati, remaja itu dalam keadaan sihat dan tidak mengalami apa-apa kecederaan.
“Siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengetahui sebab remaja berkenaan boleh berada di tempat terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, media melaporkan polis sedang mengesan remaja terbabit yang dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas dipercayai keluar menunaikan solat subuh di masjid yang terletak kira-kira 500 meter dari kediamannya, Ahad lalu.
Sementara itu, bapa remaja berkenaan, Almawardi Mohamad, 41, ketika dihubungi mengesahkan penemuan anaknya.
Katanya, anaknya ditemukan dalam keadaan selamat oleh polis sekitar 12 tengah malam tadi.
Dalam pada itu, Almawardi berterima kasih kepada semua pihak yang membantu serta menyiarkan kisah kehilangan anaknya ke semua platform media sosial.
“Terima kasih kepada semua pihak yang dan bantu, anak saya ditemukan berkat doa dan bantuan semua orang, banyak media dah bantu siarkan kisah kami. Alhamdulillah,” katanya.
Bagaimanapun, Almawardi tidak dapat menceritakan perkara berkenaan dengan lebih terperinci kerana masih di bawah siasatan polis.
“Maklumat lain tak boleh didedahkan sebab saya tak nak mengganggu siasatan polis ketika ini, polis masih siasat macam mana anak saya boleh berada di sana, dan segala perincian yang lain,” katanya.
Sumber : HMETRO ONLINE