Ini Kata-kata Pengarah Jais Setelah Muhammad Sajjad Dakwa Dicabul Oleh Penguat Kuasa Jais

Usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat diminta tampil semula dengan bukti dan membuat laporan polis sekiranya benar dia mendakwa dicabul penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ketika sesi soal siasat awal tahun ini.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, Muhammad Sajjad perlu mengemukakan apa juga bukti dan keterangan bukan hanya cakap kosong kerana itu akan memburukkan keadaan dan suatu tindakan yang berbaur fitnah.

“Kalau betul dia buat tuduhan, pasti dia sudah buat laporan polis. JAIS juga sudah buat laporan polis menyatakan perkara sebenar yang berlaku pada pihak polis, kita serahkan kepada polis untuk membuat siasatan.

“Prinsip saya telus, jika betul ada kakitangan JAIS buat salah, pasti polis ambil tindakan kerana dakwaan gangguan seksual itu bukan bidang kuasa saya tetapi polis.

“JAIS tidak akan dan tidak pernah membela mana-mana kakitangan yang membuat sebarang salah laku. Tiada tempat untuk kakitangan yang melakukan perkara melampaui batas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Shahzihan juga mempersoalkan tindakan Muhammad Sajjad yang hanya membuat dakwaan sekarang, sedangkan soal siasat berkenaan dijalankan awal tahun ini.

Katanya, tindakan dia seolah-olah memainkan emosi semua orang untuk terus meletakkan JAIS dalam keadaan bersalah dengan dakwaan itu.

“Bukan JAIS tidak hormat dia tetapi cara dia buat kita hilang hormat. Bila di Australia, buat cerita macam-macam ‘baling batu sembunyi tangan’.

“Menimbulkan persepsi orang agama tidak betul, jabatan agama tidak betul. Jika terus dilayan, JAIS akan terheret dalam persepsi dia dan dilihat cepat melatah.

“Sedangkan isu dia kecil sahaja, banyak lagi agenda berkaitan agama Islam di Selangor yang perlu JAIS beri perhatian dan dititikberatkan,” katanya.

Terdahulu, Muhammad Sajjad ketika temu bual dengan New York Times mendakwa perkara itu disaksikan ibunya sendiri, yang menegur dan mempertikaikan perbuatan berkenaan oleh seseorang yang sepatutnya alim.

Katanya, kejadian itu berlaku Januari lalu ketika dia dipanggil ke JAIS yang mana dia dan beberapa anggota keluarga serta rakan menemui pegawai yang mendakwa menerima aduan awam mengenainya.

Kredit:HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *