Kementerian Kesihatan (KKM) tidak mempunyai perancangan untuk melakukan imunisasi vaksin secara besar-besaran membabitkan virus cacar monyet (monkeypox).
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata sekiranya perlu, ia hanya akan diberikan kepada kontak rapat kepada kes berkenaan dan pekerja kesihatan yang merawat mereka.
“Namun pada masa sama, ini adalah perkara yang membabitkan strategi negara dan saya dapat tegaskan di sini KKM mempunyai stok penimbal untuk keadaan seperti ini.
“Maksudnya kita bersedia jika virus cacar monyet ini menular dalam negara,” katanya dalam sidang media secara maya dari Geneva, Switzerland, hari ini.
Khairy berkata, setakat ini, Malaysia belum merekodkan sebarang kes cacar monyet dan kes yang tular sebelum ini sudah disahkan sebagai Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD).
“Bagaimanapun, KKM juga sudah menyenaraikan beberapa pelan strategik untuk menangani kes kemasukan virus ini ke negara dan protokol adalah sama iaitu pengasingan, rawatan dan pemantauan.
“Selain itu, KKM juga melaksanakan pelbagai aktiviti pencegahan awal dalam komuniti seperti memastikan cukup peralatan untuk pengesanan awal, pengurusan kes di hospital, pengurusan kluster wabak sekiranya terjadi epidemik dan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran kepada orang ramai supaya tidak panik,” katanya.
Khairy berkata, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) juga bersedia untuk menjalankan ujian pengesanan virus cacar monyet dalam kalangan manusia.
“Hospital juga dalam keadaan siap sedia menerima kes yang disyaki cacar monyet untuk pengasingan dalam tempoh kebolehjangkitan dan rawatan sekiranya perlu.
“Selain itu, KKM juga akan membantu Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) membangunkan kemampuan untuk menjalankan ujian pengesanan orthopoxviruses bagi tujuan survelan dalam kalangan haiwan,” katanya.