Lama Tidak Nampak Lan A To Z, Ini Wajah Dan Keadaan Beliau Selepas Lama Tidak Muncul Di Kaca TV

“TIGA tahun saya cari rezeki menyara keluarga dengan tawarkan khidmat penyewaan sistem bunyi.

“Namun, apabila pandemik Covid-19 melanda negara, satu persatu tawaran yang ada dibatalkan sekali gus buat saya panik,” kata anggota trio A To Z, Norazlan Abd Aziz atau Lan mengenangkan keperitan yang ditempuhinya ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Lan, 51, tidak bersikap meminta-minta, namun sebaliknya berusaha mencari jalan menampung kehidupan.

LAN ketika menerima bantuan daripada Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez

“Alhamdulillah, tiba-tiba tercetus ilham mencari buluh lemang untuk dijual. Kebetulan kita sambut puasa dan hari raya Aidilfitri.

“Saya berusaha masuk hutan cari buluh dan berurusan dengan orang asal untuk dapatkan bekalan.

“Syukur saya berjaya jual buluh lemang dengan jumlah keseluruhan 6,000 batang. Keuntungan bukan besar kerana saya jual RM2, manakala kos untuk bayar orang asal pula RM1. Apapun saya bersyukur kerana ada rezeki untuk keluarga,” katanya.

Penyanyi lagu popular Itik Gembo-Gembo dan Darjat ini berkata, dia bersyukur kerana rakan-rakan artis serta peminat memberi semangat dan sokongan terhadap karier barunya itu.

“Saya tak perlu rasa segan (malu) dalam mencari rezeki. Selagi tangan dan kaki boleh bergerak untuk cari makan, saya akan terus berusaha.

“Pada usia ini saya bersyukur Allah masih anugerahkan kekuatan untuk mencari rezeki tanpa perlu meminta-minta kepada orang lain.

“Dalam masa sama, kawan-kawan artis pun tak pinggirkan saya dengan sering menghubungi untuk beri kata semangat. Peminat pula sokong dengan beli buluh yang dijual,” katanya.

Lan yang berkahwin kepada Siti Nur Ain Daut dan mempunyai dua anak iaitu Putera Muhammad Darwish dan Puteri Nur Darwisya mengakui lega apabila kerajaan mula membenarkan penganjuran acara dengan prosedur operasi standard (SOP) tertentu.

“Ia sesuatu yang menggembirakan. Perlahan-lahan, saya buat hebahan untuk penyewaan sistem bunyi saya di Facebook dan Alhamdulillah sambutannya mula ada walaupun masih perlahan.

“Bagaimanapun saya masih jual buluh lemang memandangkan orang makan lemang tanpa bermusim dan bukan hanya pada sambutan perayaan.

“Lagipun selepas ini kita akan sambut hari raya Aidiladha dan buluh lemang masih diperlukan,” katanya yang menetap di Felda Sungai Buaya, Rawang.

Dalam pada itu, dia juga mengusahakan pokok buluh madu dan memasarkan rebung madu serta kuih tiram kepada mereka yang berminat.

Sumber : HMETRO ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *