Luahan Penarik Beca Sudah Tiga Hari Pulang Tangan Kosong Tapi Terus Tabah Dan Tidak Putus Asa

Melaka: “Tiga hari pulang tangan kosong, namun saya tabah dan terus berada di sini menanti pelanggan,” kata penarik beca di Bandar Hilir, Rahman Wahab, 60.

Sejak gelombang ketiga Covid-19 melanda negara, lokasi tumpuan pelancong itu agak sunyi sekali gus memberi kesan kepada pendapatan penarik beca seperti Rahman.

Katanya, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya diakui memberi impak besar terhadap kerancakan industri pelancongan yang sebelum ini sedikit melegakan.

Menurutnya, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertengahan Mac lalu, dia hilang pendapatan dalam bidang kerja yang dilakukan sejak lebih 30 tahun lalu itu.

“Namun selepas PKP berakhir saya menarik nafas lega berikutan dapat juga pendapatan walaupun tidak seperti sebelum pandemik Covid- 19 berikutan terdapat kehadiran pelancong asing.

“Bagaimanapun, gelombang ketiga ketika ini amat dirasai sehingga sejak tiga hari lalu saya pulang hampa kerana tiada pelanggan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Katanya, tidak ramai penarik beca keluar seperti biasa malah ada yang mula mengubah arah termasuk menjadi nelayan bagi mencari pendapatan menanggung keluarga.

Rahman yang mempunyai empat anak termasuk yang terpaksa menunggu dengan harapan ada pelancong yang sudi mendapatkan perkhidmatannya.

“Saya perlu berada di sini untuk sesuap nasi dengan harapan ada pelanggan,” katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati kawasan pelancongan terbabit lengang dan sebahagian peniaga juga mengakui situasi berkenaan ibarat seperti ketika PKP sebelum ini.

Kredit:HMETROONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *