Keadaan kesihatan yang merosot tidak menghalang penyanyi veteran, Datuk M. Daud Kilau untuk melihat ada peminatnya yang boleh menggantikan beliau sebagai raja gelek.
Artis berusia 83 tahun itu berharap ada calon yang sesuai dan berbakat yang mampu membuat persembahan sepertinya pada program Pencarian Bintang Bintang M. Daud Kilau yang kini memasuki peringkat akhir.
Katanya, pertandingan akhir program itu akan diadakan pada Ahad ini di Menara CondongTeluk Intan sempena Festival Kraf Perak yang sedangkan diadakan.
“Jika keadaan kesihatan saya mengizinkan, saya mahu menyaksikan pertandingan akhir itu untuk melihat rupa dan gaya para peserta, adakah mereka mampu menari seperti saya.
“Saya harap ada di antara peserta yang layak ke pertandingan akhir itu mampu melakukan gaya saya seterusnya menggantikan tempat saya dalam seni hiburan tanah air,” katanya kepada Utusan Malaysia di kediamannya di Sungai Balai Baru, di sini semalam.
Menurutnya, demi menyokong program itu, beliau membuat tawaran kepada peserta yang mahu memakai baju labuci miliknya.
“Mereka yang berminat boleh datang ke rumah saya untuk menyewanya kerana susah nak buat baju ini, kosnya mahal.
“Kalau ikutkan, rasa sayang nak bagi sewa tapi demi program ini, tak mengapa,” katanya.
Mengenai kesihatannya, Daud Kilau yang menghidap kencing manis, sakit pinggang dan jantung tidak stabil menyebabkannya mengambil keputusan tidak lagi membuat persembahan pentas berkata, sekarang beliau lebih banyak berbaring.
“Sebelum ini boleh juga saya duduk atas kerusi roda dan keluar rumah, tapi sekarang saya lebih banyak berbaring sebab tidak boleh berdiri lama,” katanya.
Sumber – UTUSAN ONLINE