Menteri Besar Kedah dan juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor membuat jangkaan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 di Istana Negara selewat-lewatnya jam 4 petang ini.
Kenyataan demikian dibuat selepas beliau melihat dan menjangkakan 18 daripada 30 ahli parlimen Barisan Nasional (BN) akan memberi sokongan penuh kepada Muhyiddin untuk memimpin negara sebagai Perdana Menteri.
“Muhyiddin akan persembah perkenankan senarai nama Ahli Parlimen yang menyokong beliau kepada Yang di-Pertuan Agong pada jam 2 petang, dan dijangka disusuli Majlis Angkat Sumpah Perdana Menteri jam 4 petang.
“Sekurang-kurangnya 18 Ahli Parlimen BN akan menyokong Muhyiddin untuk diangkat sebagai Perdana Menteri ke-10 hari ini.
“Senarai nama Ahli Parlimen akan melalui beberapa prosedur dan perlu dihantar ke Istana Negara sebelum jam 2 petang dan bakal disusuli dengan Majlis Angkat Sumpah Perdana Menteri pada jam 4 petang ini,” ujar beliau lagi.
Walau bagaimanapun, demi berpegang teguh kepada ketetapan suara akar umbi UMNO iaitu ‘No Anwar, No DAP’, maka tidak akan ada gabungan daripada BN yang mahu menyertai PH.
“Tidak perlu lompat parti untuk nyatakan sokongan kepada Muhyiddin. Kalau mereka dipecat pun, jawatan sebagai ahli parlimen tidak akan hilang kerana mereka bukan lompat ke parti lain,” kata beliau.
Ini bermakna, sokongan ahli parlimen selain PN kepada Muhyiddin untuk mengetuai pucuk pimpinan negara tidak akan terkesan dengan Akta Anti Lompat Parti.
Sumber – KOSMO! ONLINE