Nourul Depp Terpaksa Buang ‘Rahim’. Dia Beritahu Apa Yang Telah Terjadi

Perkongsian penyanyi popular Nourul Depp mengenai pembedahan pembuangan rahim di Instagramnya semalam adalah disebabkan rasa tanggungjawab untuk memberi kesedaran kepada umum betapa pentingnya pencegahan terhadap sebarang ketumbuhan pada organ dan tubuh badan.

Nourul berkata, dia berasa bersyukur kerana diberitakan tentang ketumbuhan di rahimnya lebih awal dan dapat mengambil langkah berjaga-jaga untuk menyelamatkan nyawanya.

“Hantaran di Instagram itu sebenarnya dibuat untuk memberi kesedaran kepada umum. Sudah 12 bulan berlalu. Tapi ada orang anggap benda itu hal yang baharu.

“Saya mahu memberitahu semua orang yang kalau ada benda yang perlu dibuang, buanglah. Jangan simpan.

Benda ketumbuhan seperti itu akan membawa kepada yang tidak baik.

“Menerusi gambar organ (rahim) yang saya muat naik, ada beberapa nodul kelihatan. Selepas doktor periksa, tiada sebarang ketumbuhan yang boleh akibatkan kan.ser.

Alhamdulillah, dapat kesan pada peringkat yang sangat awal. Apa pun kita kena jaga diri,” katanya kepada Gempak.

Terpaksa Buang Rahim Kerana Ketumbuhan, Nourul Depp Beri Inspirasi Supaya Peka Terhadap Kesihatan Dalaman

Dalam pada itu, menerusi ruangan kapsyen dan komen di Instagramnya, Nourul berpesan supaya berhati-hati dan sentiasa peka dengan kesihatan.

“Takut? Siapa tak takut nak bedah. Tapi lebih baik sakit sekejap daripada sakit berpanjangan seperti kan.ser dan sebagainya.

“Saya buat prosedur pap smear (proses untuk kesan ketumbuhan dan kan.ser pada serviks) setiap tahun. Alhamdulillah ketumbuhan dikesan awal.

“Kes saya, ovari tidak dibuang. Jadi saya tidak perlukan sebarang hormon.

Jangan sedih kalau kena buang rahim. Bersyukurlah kerana Allah selamatkan nyawa anda. Bagi peluang hidup dan pengajaran. Buka fikiran anda, dan ubahlah cara anda melihat kehidupan,” katanya.

Untuk rekod, Nourul atau nama sebenarnya, Noorulhuda Abdul Wahab, 44, mendirikan rumah tangga dengan komposer dan penyanyi Ajai atau Mohd Faizal Maas pada 25 Disember 1996 dan berpisah pada 28 Februari 2007.

Hasil perkahwinan pertama, Nourul dan Ajai dikurniakan seorang cahaya mata bernama Ayu Nazirah, 23.

Kemudian, Ajai mendirikan rumah tangga bersama Norliza Ilias pada 15 Ogos 2009 manakala Nourul pula bernikah dengan Eric Daniel Depp pada 6 Jun 2012.

Nourul dan Eric kemudiannya dikurniakan tiga anak iaitu Zachary, 8, Raphael, 6, dan Isabella, 2.

Sumber: GEMPAK

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *