Rosmah Beritahu Mahkamah Bahawa Najib Pesan Pada Dia Jangan Campur Tangan Urusan Kerajaan. Sekali Ini Respond Hakim Mahkamah

“Penafian Rosmah dalam pembelaan bahawa dia tidak ada campur dengan projek kerajaan kerana takut kepada Najib (Datuk Seri Najib Razak) adalah keterangan dengar cakap,” kata Hakim Mohamed Zaini Mazlan dalam keputusannya.

Menurutnya, Rosmah mendakwa bahawa Najib mengingatkan beliau untuk tidak campur tangan dengan kontraktor projek kerajaan dan menjalankan tanggungjawab sebagai isteri sahaja.

“Tertuduh mengatakan dia takut akan kemarahan Najib dan tidak akan mempengaruhi suaminya termasuk memaksa atau menasihatkannya berhubung projek kerajaan.

“Semua kenyataan itu adalah dengar cakap dan tidak diterima oleh mahkamah kerana Najib tidak dipanggil untuk memberi keterangan.

“Hanya Najib yang boleh mengesahkan apa yang dikatakan tertuduh itu,” katanya dalam penghakiman setebal 116 muka surat.

Mahkamah dalam keputusannya berpuas hati bahawa daripada rakaman audio dan transkrip membabitkan perbualan tertuduh dan Najib jelas menunjukkan bahawa wanita itu memberi arahan kepada suaminya berhubung urusan kerajaan.

“Dalam kenyataan saksinya, tertuduh tidak secara tegas menafikan suara dalam rakaman audio itu adalah bukan mereka berdua.

“Terdapat tiga saksi yang mengenal pasti bahawa suara rakaman itu adalah milik Najib dan tertuduh. Saya tidak meragui bahawa mereka betul.

“Tertuduh cuba mengatakan bahawa perbualan itu adalah perbincangan biasa antara suami dan isteri. Bagaimanapun, ia bukan perbualan biasa antara pasangan, kerana ia adalah mengenai hal ehwal kerajaan.

“Jelas daripada rakaman audio itu, tertuduh memberi arahan kepada Najib mengenai hal ehwal kerajaan.

“Nada suaranya memerintah dan bertentangan dengan pendapatnya bahawa dia mematuhi larangan Najib untuk tidak mencampuri urusan kerajaan.

“Dengan hormatnya saya mengatakan, ia nampak tertuduh mendominasi Najib. Dia mempunyai kawalan ke atasnya. Dia mendakwa tidak ada urusan campur tangan dalam tugas Najib atau hal ehwal kerajaan, tetapi dia melakukannya.

“Rizal bercakap benar apabila berkata tertuduh mempunyai sifat suka mengawal dan boleh mempengaruhi keputusan dalam perkhidmatan awam.

“Dia telah bekerja dengannya selama bertahun-tahun dan akan dapat menyaksikan ini secara peribadi.

“Tertuduh tidak menunjukkan bahawa beliau mudah diambil kesempatan. Dia mempunyai karakter yang tegas dan tidak gentar untuk menegur sesiapa pun.

“Berdasarkan keterangan saksi, saya rasa tidak mungkin Rizal akan mengaturkan pertemuan kedua tanpa pengetahuan dan persetujuan tertuduh,” katanya.

Sumber : HMETRO ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *