Netizen Tidak Puas Hati Bila Bukan Salah Gadis Itu Tidak Scan MySejahtera Hingga Dia Disaman, Sekali Polis Jelaskan Apa Sebenar Yang Berlaku

KES beberapa individu yang dikenakan kompaun kerana didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan pergerakan (PKP) sememangnya hangat diperkatakan sejak beberapa hari ini.

Bermula dengan kisah pelajar matrikulasi yang dikompaun di dalam kolej, kemudian tular pula kisah peniaga burger dan peniaga colek di Kelantan yang dikompaun RM50,000 benar-benar membuatkan netizen ‘panas hati’.

Terbaharu tular pula kisah seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang dikenakan kompaun RM1,500 kerana tidak merekodkan maklumat ketika menaiki bas ekspres.

Kisah pelajar wanita tersebut tular selepas dimuat naik oleh seorang pelayar di Twitter.

Sehingga kini ia meraih hampir 24,000 retweet selain dibanjiri dengan komen netizen yang bersimpati dengan nasib pelajar berkenaan.

Kompaun yang dikeluarkan terhadap Tya Nadia, pada Isnin lalu.

Berkongsi cerita dengan mStar, pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Tya Nadia itu berkata dalam kejadian pada Isnin lalu, dia menaiki bas ekspres berseorangan di Terminal Bas Shah Alam untuk pulang ke kampungnya di utara.

“Ketika di terminal, saya dah rekodkan nama, suhu dan pengawal keselamatan bagi masuk. Sebaik sahaja beli tiket, saya masuk ke boarding gate dan letakkan beg di bawah bas.

“Ketika nak naik bas, ada dua pemandu sedang berdiri dan mereka tak cakap apa-apa pun. Bas bergerak dan menuju ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) untuk ambil penumpang.

Ada antara netizen yang mahu membantu menghulurkan sumbangan bagi menyelesaikan kompaun berkenaan.

“Ketika bas berhenti itulah, polis naik ramai-ramai dalam bas untuk periksa sama ada berlaku pelanggaran SOP di kalangan penumpang. Kemudian saya diminta turun untuk dikompaun kerana tak tulis dalam buku sebelum naik bas.

“Saya beritahu polis tu yang saya tak dimaklumkan oleh pemandu bas pun. Pemandu hanya diam dan polis tu kata dia hanya jalankan tugas. Dia minta kad pengenalan dan terus keluarkan kompaun,” ujar pelajar berusia 22 tahun ini.

Menurut pelajar tersebut, dia kesal kerana terus dikenakan kompaun tanpa mengambil kira penjelasannya, tambahan pula nilai yang dikenakan agak besar bagi seorang pelajar sepertinya.

“Saya dah rekodkan nama masa sampai di terminal… saya tak tahu menahu kena rekodkan nama lagi sekali ketika naik bas sebab tak diberitahu. Kalau saya tahu dan nampak ada penumpang lain rekod, semestinya saya buat. Saya bukannya naik bas ekspres setiap hari.

“Saya merayu kepada polis tu untuk saya segera rekodkan nama seperti yang diminta memandangkan ketika itu baru dekat TBS dan belum lagi sampai destinasi, tapi tak diendahkan,” ujarnya sambil menambah dia mempunyai surat kebenaran merentas negeri.

POLIS JELASKAN APA SEBENAR YANG BERLAKU

Polis menafikan dakwaan bertindak secara tidak adil dalam mengeluarkan kompaun terhadap seorang wanita kerana tidak mengimbas kod QR MySejahtera ketika menaiki bas di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sini pada Isnin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintenden Annas Sulaiman berkata, pihaknya mendapati wanita berusia 20-an itu tidak mengimbas kod QR MySejahtera ketika hendak menaiki bas walaupun telah dinasihatkan oleh pemandu bas berkenaan.

“Wanita itu hanya membuat imbasan Kod QR MySejahtera ketika di perhentian TBS dan tidak mengimbas kod QR MySejahtera semasa menaiki bas,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Annas berkata, pihaknya telah mengeluarkan kompaun kepada wanita itu setelah membuat pemeriksaan di dalam bas tersebut.

“Kita turut melakukan pemeriksaan terhadap penumpang lain dan mendapati kesemua mereka telah mengimbas kod QR MySejahtera.

“Wanita itu dikenakan kompaun kerana telah melanggar SOP Pengangkutan Awam yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara pada 13 Januari lalu,” katanya.

Dalam pada itu, Annas turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara.

“Semua individu seharusnya memainkan peranan masing-masing dan bekerjasama dalam mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang ditetapkan oleh kerajaan dalam usaha memerangi penularan COVID-19,” katanya.

Sumber : MSTAR ONLINE / ASTRO AWANI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *