Datuk Seri Hishammuddin Hussein tetap dengan pendirian menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan malah rela dipecat.
Menerusi Facebooknya, beliau mempersilakan pihak parti untuk memecatnya kerana berpegang pada pendirian itu.
“Seperti saya tegaskan kelmarin dan sebelum ini lagi – tetap menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan.
“Saya rela dipecat oleh parti namun tidak akan sesekali mengubah pendirian teguh ini.
“No Anwar, No DAP. Pihak yang merasakan boleh mengambil tindakan memecat saya kerana berpegang kepada pendirian ini, silakan,” katanya.
Artikel berkaitan..
Umno Johor tolak kerjasama dengan DAP
Umno Johor berpendirian gabungan politik yang dibentuk bagi menubuhkan kerajaan Persekutuan tidak perlu membabitkan DAP.
Pengerusinya, Datuk Seri Hasni Mohammad, berkata keutamaan parti politik ketika ini membentuk gabungan yang stabil.
“Selain itu, Umno Johor berpendirian kerajaan Persekutuan ditubuhkan perlu berfungsi serta berfahaman sederhana (moderate) untuk memimpin Malaysia mendepani cabaran-cabaran sosial dan ekonomi masa hadapan.
“Oleh yang demikian, Umno Johor berpendirian bahawa gabungan politik yang dibentuk tidak perlu membabitkan DAP,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg dilaporkan memaklumkan, gabungan itu bersetuju membentuk kerajaan Persekutuan menerusi kerjasama dengan tiga lagi gabungan iaitu Perikatan Nasional (BN) dan BN.
Abang Johari dilaporkan berkata, keputusan membentuk kerajaan campuran itu dibuat demi mengukuhkan dan menstabilkan negara serta kesejahteraan rakyat.
Bagaimanapun, hari ini media melaporkan Presiden Umno merangkap Pegerusi Barisan Nasional (BN) bersama beberapa pimpinan parti mengadakan pertemuan dengan pimpinan Pakatan Harapan (PN) termasuk Pengerusinya, Datuk Seri Amwar Ibrahim, di ibu negara pagi tadi.
Dalam keputusan PRU-15 yang diumumkan awal pagi semalam, BN dilaporkan hanya berjaya memperoleh 30 kerusi Parlimen, jumlah kerusi lebih rendah berbanding dicapai mereka pada PRU-14.
Pada PRU-14 lalu, Umno dilaporkan menang di 54 kerusi Parlimen.
Berdasarkan keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), beberapa kerusi yang dimenangi Umno dalam PRU-14 lalu, tewas dan beralih ke Perikatan Nasional (PN).
Dalam pada itu, Hasni yang juga Pengerusi BN Johor dan Pengarah Pilihan Raya BN Johor berkata, BN dan Umno Johor menerima dan menghormati keputusan rakyat di dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Katanya, keputusan PRU-15 cukup jelas dan adalah penzahiran kepada kematangan rakyat dalam
mendakap budaya demokrasi di Malaysia.
“Keputusan PRU-15 juga adalah isyarat jelas rakyat kepada Umno dan BN.
“Oleh yang demikian, Umno Johor percaya bahawa Presiden akan mengambil tanggungjawab yang jelas dan berprinsip demi kelangsungan parti dan orang Melayu amnya.
“Pemilihan Umno yang bakal diadakan tidak lama lagi perlulah berlangsung berdasarkan kerangka pemulihan (restore) Umno.
“Keyakinan pengundi kepada parti ini perlu segera dipulihkan agar Umno kembali diyakini semua rakyat Malaysia,” katanya.
Hasni yang menang kerusi Parlimen Simpang Renggam pada PRU-15 berkata, keputusan PRU di Johor akan diteliti secara mendalam supaya penambahbaikan dapat segera dilakukan.
“Melangkah ke hadapan, Umno dan BN Johor akan terus diperkukuhkan,” katanya.
Sumber : HMETRO ONLINE