PENYANYI Datuk Awie berpendapat usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri perlu berhenti menyanyi kerana tindakannya itu boleh merosakkan industri muzik di Malaysia.
Menurut Awie atau Ahmad Azhar Othman, 54, adalah lebih baik jika jutawan itu memberikan dana dengan membantu industri dan penyanyi berbakat yang ada di negara ini.
“Kalau boleh tak payah buat langsung sebab dia bukan penyanyi pun.
“Kalau nak buat bagi orang profesional yang buat… kamu keluar duit sudah sebab banyak duit.
“Kalau saya diberi peluang untuk bercakap berdepan dengan dia, saya akan cakap… please stop!” katanya kepada mStar.
Awie diminta mengulas mengenai MV kontroversi itu semasa sidang media supertele Rebel yang diadakan di Spoon Steakhouse, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
Bercakap mengenai Rebel, supertele arahan Awie ini dijangka memulakan penggambaran selepas Aidilfitri ini.
Antara barisan pelakon dalam supertele ini ialah Ben Amir, MK K-Clique dan Shiqin Kamal.
VIDEO:
SKMM Panggil Semua Individu Terlibat Klip Video Raya Aliff Syukri
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan memanggil individu terlibat dalam klip video muzik sempena Aidilfitri dikaitkan dengan usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman yang menimbulkan kontroversi baru-baru ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata individu yang dikenal pasti telah diberi notis dan diminta untuk hadir di ibu pejabat MCMC di Cyberjaya pagi ini.
“SKMM telah teliti di peringkat awalan, dan ada sebab untuk siasatan dilaksanakan, dan dengan itu satu kertas siasatan dibuka untuk siasat perkara ini di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Klip video raya berkenaan yang memaparkan sekumpulan penari lelaki bersolek dan berperwatakan lembut mencetuskan pelbagai reaksi kerana dikatakan kurang sesuai untuk tontontan masyarakat lebih-lebih ketika di bulan Ramadan.
Annuar turut mengesahkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menerima terlalu banyak aduan termasuk daripada Jabatan Perdana Menteri khususnya Hal Ehwal Agama dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berhubung klip video itu.
Beliau berkata keresahan itu timbul kerana klip video berkenaan mempunyai unsur tertentu yang bercanggah dengan amalan dan norma masyarakat negara ini.
Sumber : MSTAR ONLINE / GEMPAK