Selepas Direman 3 Hari Kerana Memijak Kolam Deepavali. Ini Yg Pihak Hosp KPJ Lakukan Kepada Pekerja Mereka

PEMUDA yang merosakkan hiasan tradisional atau kolam sempena Deepavali di pekarangan sebuah hospital swasta, bersama seorang individu yang merakam aksi berkenaan, direman tiga hari.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, kedua-dua suspek berusia 20-an dan 30-an itu ditahan pada pukul 11 malam mereka selepas hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara.

“Mereka direman tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Perbuatan lelaki berkenaan menjadi bualan selepas rakaman video memaparkan kejadian itu tular di media sosial.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenalpasti motif kejadian.

KPJ Mohon Maaf

Individu yang memijak hiasan perayaan (kolam) Deepavali seperti yang tular baru-baru ini dilaporkan telah digantung kerja sementara menunggu siasatan lanjut pihak berkuasa.

KPJ Healthcare dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya turut membuat permohonan maaf secara terbuka atas isu tular berkenaan yang dipercayai menyentuh sensitiviti kaum.

“KPJ Healthcare ingin memohon maaf secara terbuka kepada semua rakyat Malaysia, khususnya kepada masyarakat kaum India, berkaitan dengan video yang telah tular di salah satu premis kami,” maklum kenyataan itu hari ini.

Dalam pada itu, sebagai sebuah institusi penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan, pihaknya juga akan sentiasa menyantuni dan menghormati kepelbagaian budaya di Malaysia.

“Kami ingin menyatakan dengan jelas bahawa KPJ Healthcare tidak membenarkan tindakan sedemikian dan sama sekali tidak mencerminkan budaya, nilai atau amalan kami,” katanya lagi.

Individu Pijak Kolam Deepavali Digantung Kerja

Sementara itu difahamkan, pihaknya turut akan berganding bahu memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dalam menyiasat insiden tersebut.

“Kami kecewa dengan tindakan tidak bertanggungjawab individu ini dan pihak terbabit telah digantung kerja sementara menunggu siasatan lanjut.

“Kami juga telah membuat laporan polis mengenai insiden tersebut dan akan terus memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa berkaitan perkara ini,” tambahnya.

Semalam, tular satu video di media sosial memaparkan seorang lelaki dilihat memijak dan berjalan di atas hiasan perayaan (kolam) Deepavali di sebuah hospital swasta di Klang.

Tindakan lelaki tersebut bagaimanapun mengundang kecaman orang ramai kerana dipercayai tidak menghormati budaya kaum lain, selain turut disyaki menyentuh sensitiviti perkauman.

Dalam satu kenyataan semalam, KPJ Healthcare turut menegaskan mereka tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang tidak profesional atau jelik daripada mana-mana kakitangan dan akan menjalankan siasatan dalam.

Sumber : MSTAR ONLINE / SIAKAP KELI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *