Selepas Teruk Dikecam Netizen, Imam Besar Masjid Putra Tampil Mohon Maaf (Video)

Imam Besar Masjid Putra, Putrajaya, Ustaz Ikmal Zaidi Hashim tampil membuat permohonan maaf terbuka susulan reaksinya terhadap video viral solat Jumaat baru-baru ini.

Menerusi rakaman video yang dimuat naik di Facebook rasmi Masjid Putra Putrajaya pada Selasa, Ikmal Zaidi menyifatkan reaksinya seakan keterlaluan.

“Saya Ustaz Ikmal Zaidi Hashim, Imam Besar Masjid Putra, Putrajaya dengan ingin memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam yang mengetahui kes ini secara jauh dan dekat di atas reaksi saya yang dilihat agak keterlaluan berhubung dengan video yang tular di media massa dan media sosial di seluruh negara pada hari Jumaat yang lalu.

“Dengan rendah hati saya ingin memohon maaf di atas segala keterlanjuran tersebut dan berazam serta berjanji akan memperbaiki keadaan, terutamanya mengenai pelaksanaan SOP khasnya di Masjid Putra, Putrajaya.

“Untuk itu saya mengajak semua khasnya jemaah Masjid Putra untuk kita teruskan aktiviti pengimarahan, sama ada solat Jumaat mahupun solat fardhu serta program-program yang kami anjurkan,” ujarnya.

Ikmal Zaidi dalam pada itu turut berkongsi sepotong petikan ayat Al-Quran dari Surah Hud (ayat 88) berkait dengan permohonan maafnya.

“Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya-upayaku dan tiadalah aku akan beroleh taufiq untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepada-Nya lah aku kembali,” maksud ayat terbabit.

Terdahulu, reaksi Ikmal Zaidi terhadap video viral layanan ‘double standard’ jemaah solat Jumaat minggu lalu mengundang kritikan pedas netizen.

Lebih mengecewakan apabila beliau mendedahkan mengenai penetapan kuota 10 peratus daripada 300 jemaah masjid yang dikhususkan buat golongan kenamaan (VIP).

VIDEO:

Sumber : GEMPAK

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *