Suami Suruh Isteri Buka Laci Dan Dalam Itu Ada Duit RM14Ribu. Netizen Mula Cakap Itu Duit iSinar, Isteri Tampil Beritahu Kisah Sebenar

KEJUTAN seorang suami kepada isterinya membuatkan ramai menyangka ia adalah hasil pengeluaran kemudahan i-Sinar untuk ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Mana tidaknya, video yang dikongsikan seorang wanita menerusi aplikasi TikTok menunjukkan lambakan wang kertas RM50 disimpan dalam laci sebuah almari.

“Suami suruh buka laci. Katanya dia beli mekap baru. Tapi 14k (RM14,000) dia bagi. Nak buat apa ni?” menurut keterangan video yang meraih lebih 570,000 tontonan.

Wanita berkenaan, Amy Mastura Sazali memberitahu, wang berjumlah RM14,000 tersebut diberikan suaminya minggu ini sebagai kejutan yang tidak disangka-sangka.

Dia pada mulanya berasa sedih kerana suaminya seolah-olah terlupa hari ulang tahunnya ke-26 pada 15 Februari lalu, yang mana dia kebiasaannya akan diberi kejutan kek hari jadi.

“Itu bukanlah duit i-Sinar atau apa-apa seperti yang disangka netizen, tetapi sebenarnya ia adalah hasil bisnes suami yang dibuat sebagai kejutan untuk saya.

“Duit dalam laci di rumah itu adalah hasil dia sendiri yang saya tak tahu. Masa saya cari laci tu berdebarlah juga dan saja rakam. Bila tengok ada duit, saya panggil suami kata ‘apa ni, apa ni, nak buat apa ni?’ Tapi saya terharu,” katanya kepada¬†mStar.

Lebih mesra disapa Amy, dia mendedahkan perkahwinannya pada 2016 berlangsung secara ringkas dengan hanya mengadakan akad nikah.

Amy terharu menerima kejutan daripada suami.

“Dulu masa kahwin pun tak ada kenduri, tak ada majlis. Tak ada pun hantaran mahal-mahal. Saya kahwin dulu hantaran RM1,000 saja.

“Ayah saya buat akad nikah saja sebab masa tu saya dan suami memang tak ada duit. Ayah tak kisah siapa pilihan saya, tapi ayah terima sebab suami pandai berdikari,” ujarnya yang berasal dari Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, katanya, suaminya bekerja di sebuah kilang dan enam bulan selepas mendirikan rumah tangga, masing-masing melibatkan diri dalam bisnes sabun.

“Sebelum kahwin dia kerja biasa saja di kilang. Bila dah senang sikit dengan bisnes sekarang, barulah dia hadiahkan duit.

“Bila dah kira sendiri baru saya tahu jumlahnya, saya tak pernah dapat duit sebanyak tu. Sebelum ni suami ajak pergi kedai emas saja.

“Saya tak tahu nak buat apa sebab banyak sangat. Jadi, saya putuskan untuk berikan sedikit wang kepada ibu bapa mentua saya dan sejumlah besar disimpan di bank,” ujarnya.

Amy (kiri) menyifatkan suaminya seorang yang berdikari dan penyabar.

Dalam pada itu, Amy turut menyifatkan suaminya seorang yang bertanggungjawab dan penyayang selain berdikari sejak sebelum mendirikan rumah tangga.

“Alhamdulillah suami okay, seorang yang penyabar. Tak pernah tinggi suara. Apa-apa dia akan cerita dengan saya,” katanya yang kini mengusahakan produk kecantikan.

Selain komen mengenai wang hasil pengeluaran i-Sinar, ibu kepada dua cahaya mata turut mendedahkan terdapat netizen yang menawarkan diri untuk menjadi isteri kepada suaminya.

“Ramai yang nak jadi madu saya. Tak tahulah nak kata apa. Saya gelak je la. InsyaAllah suami saya tahu siapa susah senang dengan dia,” katanya.

VIdeo:

Sumber : MSTAR ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *