Untuk Perkahwinan Mewah, Pengantin Lelaki Terpaksa Pinjam Duit Dgn Banyak. Tapi Selepas Kahwin, Isteri Ini Luah Rasa Sedih Dan Menyesal

DIPAKSA membuat pinjaman peribadi bernilai RM40,000 oleh ibu bapa demi majlis perkahwinan yang gah, perkongsian seorang wanita mengundang pelbagai reaksi warganet.

Selain jumlah wang hantaran berdasarkan tahap akademik, majlis perkahwinan yang berlangsung hebat adalah antara ‘kayu ukur’ segelintir masyarakat kita.

Adakalanya tidak masuk akal melihat bajet yang di luar kemampuan bakal pengantin.

Sementelah harga barangan yang meningkat, bajet majlis juga melambung. Namun bagi memenuhi kehendak keluarga, ramai bakal pengantin pasrah hingga perlu membuat pinjaman peribadi.

Luahan seorang wanita yang dikongsikan di laman sosial Twitter @ConfessTweetMY benar-benar menyentuh hati warga maya.

“Derita buat pinjaman untuk majlis kahwin. Hidup tidak bahagia, asyik fikir hutang.”
“Hai admin, saya hendak share satu cerita. mohon jangan dedahkan profail saya.

Saya baru berkahwin enam bulan. Sepanjang enam bulan ini saya lebih banyak menangis daripada gembira.

Semuanya bermula sebelum majlis lagi, apabila ibu bapa saya memaksa membuat pinjaman untuk majlis kahwin.

“Kami berdua bekerja biasa sahaja. Suami kerani dan saya pula pekerja kontrak kerajaan. Saya beritahu ibu bapa mahu adakan majlis kecil-kecilan sahaja, jemput dalam 100 orang.

“Ibu bapa saya tidak setuju kerana ramai saudara-mara dan kawan-kawan mereka perlu dijemput. Kalau tidak nanti kecil hati. Apabila beritahu begitu mereka seperti tidak yakin kemampuan suami menjaga saya selepas kahwin kerana majlis pun kecil-kecilan sahaja.

“Suami saya (ketika itu sebagai tunang) kecil hati apabila tahu. Beliau duduk berbincang dengan ibu bapa saya, berapa ramai hendak dijemput.

Selepas dikira, jumlahnya ialah 1,000 orang dan mereka mahu ia diadakan di hotel. Ibu bapa mencadangkan suami saya membuat pinjaman peribadi sebanyak RM40,000 jika ingin berkahwin.

“Dipendekkan cerita, suami saya pun buat pinjaman dan majlis telahpun selesai. Ibu bapa saya gembira ramai kawan-kawan datang dan memuji majlis ‘grand’ dan sebagainya.,” luahnya.

Wanita berkenaan turut memberitahu kini mereka berdua terperangkap dengan pinjaman peribadi puluhan ribu itu.

PADA AWAL PERKAHWINAN BELIAU DAN SUAMI SUDAH TERBEBAN KERANA PERLU MENYEDIAKAN BAYARAN BULANAN PINJAMAN TERSEBUT SEHINGGA TERPAKSA MELAKUKAN DUA PEKERJAAN.

“Sekarang ini kami sedang ‘struggle’ bertungkus lumus untuk membayar pinjaman. Suami balik kerja terus buat servis penghantaran makanan.

Saya pula menjual sebagai ‘dropshipper’ dalam talian tetapi sendu sahaja jualannya, kadang-kadang tidak ada pun,” katanya.

Lebih menyedihkan, personaliti si suami yang dahulunya ceria tidak lagi dilihat kerana kepenatan mencari wang bagaikan tiada penghujung.

“SUAMI SAYA YANG DAHULUNYA CERIA SEKARANG BANYAK TIDUR SAHAJA APABILA BALIK RUMAH. PENAT KATANYA KERJA TIDAK HABIS.

BELIAU MENYESAL SUNGGUH BUAT PINJAMAN ITU. KALAU TIDAK BUAT TENTU AMAN HIDUP, BALIK KERJA DARI PEJABAT BOLEH REHAT DENGAN SAYA,” KATANYA.

Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi daripada warga maya. Kebanyakannya bersimpati dengan nasib yang menimpa pasangan itu dan yang seolah-olah menjadi mangsa keadaan.

“Kalau perkahwinan Cina, orang yang hadir bagi angpau. Duit diberi untuk menampung kos kahwin.

Walaupun bayar RM40,000 untuk majlis, oleh kerana setiap tetamu beri RM100 bolehlah menampung kos. Ada juga yang untung jika menerima angpau besar.”

-“Sebab mentaliti orang Melayu masih berpegang yang pihak lelaki kena tanggung kenduri sebelah perempuan (duit hantaran) sedangkan dalam Islam kenduri sunat sebelah lelaki saja, kalau belah perempuan nak buat keluarga yang tanggung, bukan pengantin lelaki.”

-“Nasihat saya kepada bakal pengantin , kawal semuanya. Yang hendak urus bajet kahwin semua itu kamu, bukan ibu bapa. Kecuali jika ibu bapa yang keluarkan kos 100 peratus, lain cerita.”

-“Fasal hendak puaskan hati orang, anak derita. Ini salah satu punca rumahtangga anak cerai-berai..”

-“Kadang-kadang anak hendak majlis yang ringkas sahaja, cepat dan mudah. Tetapi ahli keluarga lain pulak yang menyibuk. Bukannya orang akan bercerita tentang majlis itu bertahun tahu. tetamu akan datang makan dan balik.”

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, majlis ‘walimah’ atau kenduri kahwin hukumnya adalah sunat muakkad. Ia disunatkan kepada pengantin lelaki iaitu suami untuk melakukannya.

PUN BEGITU, SEKIRANYA PIHAK PENGANTIN PEREMPUAN ATAU PENGANTIN PEREMPUAN SENDIRI MENJALANKAN MAJLIS WALIMAH, MAKA TELAH TERLAKSANALAH HUKUM SUNAT BAGI PIHAK PENGANTIN LELAKI.

Berkenaan budaya dalam kalangan masyarakat di negara kita yang mengadakan majlis perkahwinan sebanyak dua kali iaitu di rumah pengantin perempuan dan pengantin lelaki hukumnya adalah harus selagi ia tidak berlaku israf dan pembaziran.

“Majlis perkahwinan itu dilakukan secara sederhana mengikut kemampuan dirinya sendiri (pengantin lelaki) tanpa perlu israf dan membazir.

Inilah hikmah daripada arahan Nabi Muhammad SAW kepada Abd al-Rahman bin ‘Auf. Biarlah diadakan walimah, sekalipun dengan seekor kambing.

“Kami juga nasihatkan ibu bapa kepada bakal pengantin supaya sentiasalah mempermudahkan urusan anak-anak dalam mengadakan majlis perkahwinan supaya mereka dapat melayari bahtera perkahwinan dengan sebaiknya,” katanya.

Sumber : SinarPLUS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *