Wanita Berhati Cekal Ini Jadi Tumpuan, Sanggup Dukung Suaminya Yang Kurang Upaya

Biarpun kudung kaki dan tangan, namun kasih sayang seorang isteri tidak pernah berkurang terhadap suaminya yang kini berstatus orang kurang upaya (OKU) selepas menjalani pembedahan akibat saluran darah tersumbat tiga tahun lalu.

Wanita berhati cekal dikenali sebagai Sita, 37, berkata, dia tidak pernah mengeluh walaupun terpaksa memikul tanggung jawab sebagai isteri dan ibu kepada tiga anak bagi memastikan kehidupan keluarganya berjalan lancar.

Sita berkata, suaminya, V Shathish Kumar, 38, terpaksa dibedah kerana saluran darahnya tersumbat menyebabkan berlaku jangkitan kuman dan doktor ketika itu memberi pilihan sama ada menjalani pembedahan membuang kaki dan tangan atau suaminya meninggal dunia.

“Suami akhirnya bersetuju menjalani pembedahan dan memberitahu doktor yang dia hanya mahu hidup kerana mahu melihat saya dan anak-anak membesar.

“Saya begitu terharu dengan kata-kata suami ketika itu dan hanya mampu memberi sokongan moral kepadanya sebelum menjalani pembedahan,” katanya yang ditemui di rumahnya di Taman Jati, di sini.

Menurutnya, selepas pembedahan selesai dijalankan, dia sekali lagi diuji apabila terpaksa mendukung suaminya naik ke tingkat dua rumah mereka, walaupun ketika itu baru tiga bulan melahirkan anak bongsu.

“Tiada sesiapa dapat menolong ketika itu dan dengan kudrat yang ada, saya mendukung suami naik ke rumah kami di tingkat dua.

“Saya hanya mampu menangis ketika itu kerana tahu tiada sesiapa mendengar rintihan dan kesukaran yang terpaksa ditanggung seorang diri ,” katanya.

Sementara itu, Shathish Kumar berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kepada isteri yang sudi menerima keadaannya walaupun tidak sempurna seperti sebelum ini.

“Kalau wanita lain, mungkin tidak sanggup lagi berkongsi hidup sekiranya pasangan mereka tidak sempurna namun isteri saya tidak memandang semua itu.

“Bukan saja menjaga saya, namun pengorbanannya sangat besar kerana terpaksa menguruskan tiga anak kami yang berusia tiga hingga 10 tahun,” katanya yang memberitahu mereka berkahwin atas pilihan keluarga.

Menurutnya, dia serta isteri tidak bekerja dan meneruskan hidup dengan wang pencen ilat selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Saya bukan mahu meminta bantuan atau sumbangan, namun jika boleh saya sebenarnya ingin bekerja kerana yakin mampu melakukannya walaupun dalam keadaan begini.

“Sebelum pembedahan, saya bekerja sebagai pengawal keselamatan dan kini berharap ada pihak menawarkan pekerjaan sebagai kerani kerana saya memiliki Sijil Asas Komputer selepas menjalani kursus empat bulan lalu,” katanya yang kini memakai tangan dan kaki palsu bagi memudahkan pergerakannya.

Katanya, dia turut berterima kasih kepada sukarelawan Pasukan Buru Amal Kulim terutama pengasasnya, Nordin Abu Bakar, 40, yang banyak memberi bantuan sama ada berbentuk barang keperluan dan juga sokongan moral.

“Pasukan Buru Amal ini sejak awal saya ditimpa musibah, mereka antara yang terawal menghulurkan bantuan malah sehingga kini masih mengambil berat tentang kami sekeluarga.

“Saya hormat kerana mereka menghulurkan bantuan tanpa mengira agama atau bangsa seseorang,” katanya.

Sumber:HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *